PENANG 0 KEDAH DARUL AMAN 1

Ebenezer Assifuah terus membuktikan kemampuannya apabila menjaringkan gol tunggal untuk Kedah Darul Aman menewaskan Penang 1-0 dalam aksi 'Derby Utara' Liga Super di Stadium Bandaraya sebentar tadi.

Selepas menjaringkan hatrik ketika membenam Bukit Tambun 0-5 dalam saingan Piala FA minggu lalu, Assifuah sekali lagi membawa watak wira apabila jaringan tunggalnya memastikan kemenangan kedua buat Kedah selepas empat perlawanan musim ini.

Kedua-dua pasukan menghadapi kebuntuan di depan gawang sepanjang separuh masa pertama, bahkan jaringan yang ditunggu-tunggu hanya tiba pada minit ke-77, di mana Assifuah bijak menghidu lorongan bijak Syafiq Ahmad untuk menewaskan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.

Penang cuba memberikan reaksi dengan asakan bertali arus menuju ke penghujung aksi tetapi sentuhan terakhir terus mengecewakan mereka sehingga ke wisel penamat.