PORTUGAL 4 LIECHTENSTEIN 0

Roberto Martinez percaya pengalaman dan komitmen Cristiano Ronaldo adalah penting untuk kitaran baru Portugal.


Dalam pertembungan di Lisbon awal pagi tadi, Ronaldo menjadi pemain lelaki sepanjang zaman yang paling kerap beraksi menerusi penampilan ke-197.

Pemain berusia 38 tahun itu menandakan peristiwa itu dengan jaringan berganda menerusi sepakan penalti sebelum melepaskan sepakan percuma kencang untuk melengkapkan kemenangan 4-0 menewaskan Liechtenstein dalam Kumpulan J, kelayakan Euro 2024.

Joao Cancelo meletakkan Portugal di hadapan lebih awal dan Bernardo Silva menjaringkan gol sejurus selepas rehat untuk Martinez memulakan kariernya menerajui juara 2016 itu dengan rentak positif.



Ronaldo dipinggirkan oleh ketua jurulatih terdahulu, Fernando Santos, di peringkat kalah mati Piala Dunia di Qatar, tetapi Martinez bercadang mengetengahkan kudrat pemilik lima Ballon d'Or itu ke dalam kesebelasan utamanya.

“Ia satu kitaran baharu,” katanya kepada media Portugis.

"Adalah penting bagi seorang pemain untuk menunjukkan komitmen dan menyedari bahawa kami mampu mempertaruhkan pengalamannya, dan Cristiano membuktikannya."