Cristiano Ronaldo akan bangkit untuk menebus kekecewaannya dan mempamerkan perstasi terbaik berikutan mentaliti elit yang dimilikinya, demikian kata bekas rakan sepasukannya di Manchester United, Wes Brown.

Kapten Portugal itu merupakan pemegang rekod penampilan terbanyak (29) dan penjaring gol terbanyak (14) dalam Euro tetapi masih gagal menemui jaringan dalam edisi kali ini.

Ronaldo menangis teresak-esak sewaktu tendangan penaltinya diselamatkan Jan Oblak dalam masa tambahan sebelum menebus kesilapannya itu dengan menyudahkan sepakannya dalam penentuan penalti untuk menyingkirkan Slovenia dalam pusingan 16.

Bagaimanapun, Brown, yang enam tahun bersama Ronaldo di Old Trafford, percaya bekas rakan sepasukannya itu memiliki mentaliti untuk bangkit dan menutup mulut pengkritiknya dalam kempen di Jerman berkenaan.

"Daripada segi mentaliti, tiada pemain lain lebih baik daripadanya," kata Brown kepada Stats Perform.

"Dia hanya kecewa gagal menjaringkan gol dalam waktu normal, itulah yang membuatkan dia kecewa tetapi apabila saya bercakap dengan ramai orang, mereka percaya dia tidak lagi akan memulakan perlawanan selepas ini.

"Saya benar-benar tidak bersetuju dengan perkara itu dan saya fikir dia masih mampu untuk mempamerkan prestasi terbaik.

"Dia akan kecewa jika dia tidak menjaringkannya tetapi dia juga seorang pemain yuang tahu bermain secara berpasukan.

"Dia pernah memenangi kejohanan itu dan dia hanya mahu beraksi baik, membantu pasukannya," katanya.