Thierry Henry sedang mengadakan perbincangan dengan pihak Mesir untuk membincangkan kebarangkalian bergelar pengurus skuad kebangsaan negara itu.

Nader El-Sayed, bekas penjaga gol Zamalek yang kini bertindak selaku ejen dan berada dalam bidang pemasaran sukan, mendedahkan dia telah bercakap dengan wakil Henry dan wakil pihak tertinggi Persatuan Bolasepak Mesir (EFA), Hazem Emam, di London.

El-Sayed mendakwa bekas bintang Arsenal itu sedang menunggu untuk melihat perancangan EFA dalam membangunkan pasukan sebelum membuat keputusan untuk menerima tawaran tersebut atau sebaliknya.

"Kami mengadakan pertemuan dengan ejen Henry di London dan Emam turut sama. Henry menunggu tentang projek EFA untuk pasukan sebelum menerima keputusan itu tanpa mengambil kira tentang faktor ekonomi," kata El-Sayed.

Henry bertindak selaku pembantu Roberto Martinez dalam skuad Belgium sejak 2016 dan kini menjadi rebutan setiap pasukan kelab dan negara.

Dia meletakkan jawatan sebagai pengulas sukan pada bulan ini dan dikaitkan dengan kerusi panas Aston Villa walaupun kelab Liga Kejuaraan itu mempertahankan pengurus, Steve Bruce.

Mesir kini tidak memiliki ketua jurulatih selepas Hector Cuper meninggalkan pasukan pada Jun lalu susulan penyingkiran di peringkat kumpulan dalam Piala Dunia di Russia.