Thierry Henry memberi amaran Paris Saint-Germain akan bergelut untuk mengekalkan Kylian Mbappe dan menggesa kelab itu memikirkan semula strategi perpindahan mereka selepas satu lagi penyingkiran Liga Juara-Juara yang mengecewakan.

Legenda Perancis, Henry percaya peminat PSG mendapati sukar untuk menerima bintang global yang telah tiba semasa era Pelaburan Sukan Qatar.

Mbappe adalah satu-satunya pemain Perancis dalam kesebelasan utama skuad kendalian Christophe Galtier menentang Bayern Munich pada hari Rabu, dan Henry mengesyaki kekalahan 2-0 di Jerman, mengesahkan kejayaan agregat 3-0 untuk Bayern, boleh mempercepatkan penghijrahan penyerang itu.

Walaupun menamatkan saingan sebagai penjaring terbanyak Piala Dunia bersama Perancis, sejak kembali ke PSG, tidak banyak impak dapat dihasilkan Mbappe.

Keputusan dalam Ligue 1 sebahagian besarnya cukup baik, dengan kedudukan teratas kukuh buat masa ini, tetapi Paris telah disingkirkan dari Coupe de France oleh Marseille, dan kini mereka keluar daripada saingan Eropah.

Galtier bakal berada di bawah penelitian, tetapi jika Mbappe mula mempersoalkan masa depannya itu akan menjadi tamparan yang dahsyat. Dia dipujuk untuk menentang minat Real Madrid pada Mei lalu, tetapi Henry membayangkan Mbappe mungkin mahu mempertimbangkan semula komitmennya.

Bercakap mengenai CBS Sports Golazo, Henry berkata PSG harus mengalihkan tumpuan mereka kepada bakat tempatan dan berkata, "Jika itu projek utama mereka, mungkin peminat boleh melihatnya, dan ia boleh kelihatan seperti sesuatu yang sangat menarik.

“Mungkin ia boleh menjadi satu cara untuk mengekalkan Kylian jika dia melihat bahawa mereka akan ke arah itu.

"Namun saya fikir ia akan menjadi sukar sekarang untuk mengekalkannya ekoran prestasi pasukan ini."

PSG telah tewas di pusingan 16 Liga Juara-Juara dalam lima daripada tujuh musim terakhir, memperoleh beberapa keputusan seri yang sukar pada masa itu, dua kali tewas kepada Real Madrid sementara disingkirkan oleh Barcelona, Manchester United dan kini Bayern.