Bekas penyerang Barcelona, Thierry Henry, percaya Lionel Messi masih memiliki ruang untuk memperbaiki permainannya bagi menghadapi musim 2017-18.

Skuad kendalian Ernesto Valverde meneruskan persiapan di New York selepas melakar kemenangan 2-1 ke atas Juventus dalam saingan Piala Juara-Juara Antarabangsa, kelmarin.

Menjelang musim baru ini, Henry memuji keinginan pemain itu untuk beraksi dalam setiap perlawanan serta bekerja keras dalam setiap sesi latihan.

Henry yang dipilih sebagai duta kepada The Catalans, turut memberi bayangan kepada dunia bahawa mereka masih belum melihat persembahan terbaik daripada Messi.

"Messi banyak membuat jaringan dan saya berasakan dia mampu mencipta kejutan pada musim akan datang," kata Henry.

"Perkembangannya masih belum berakhir. Dia merupakan seorang pemain yang menakjubkan."