Pasukan bola sepak kebangsaan di bawah pimpinan Pau Marti, berjaya melonjak satu anak tangga dalam kedudukan ranking FIFA selepas kemenangan menentang Filipina, malam tadi.

Dalam aksi Pestabola Merdeka 2024 malam tadi, Harimau Malaya berjaya mencatat kemenangan 2-1 hasil jaringan Syamer Kutty dan sepakan penalti Safawi Rasid, manakala Filipina memperoleh gol menerusi jaringan sendiri Feroz Baharudin.

Perlawanan tersebut turut merupakan perlawanan yang diiktiraf kerana diadakan dalam kalendar FIFA sekaligus menawarkan pungutan mata ranking kepada kedua-dua pasukan.

Menerusi kemenangan tersebut, Malaysia memperoleh mata tambahan sebanyak +4.48 sekaligus menempatkan diri di kedudukan 133 dunia, memintas Indonesia yang kini di tangga ke 134 dunia.

Indonesia berpeluang mengubah kedudukan tersebut apabila dijadualkan bertemu Arab Saudi dalam aksi Kelayakan Piala Dunia pada awal pagi Jumaat nanti.

Malaysia turut berpeluang untuk memintas beberapa negara seperti The Gambia & Rwanda untuk berada di kelompok 131 dunia jika berjaya menewaskan Lubnan untuk memperoleh +5.58 mata tambahan pada perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2024 pada Ahad, 8 September 2024.