Ketua jurulatih skuad bola sepak negara, Pau Marti Vicente membuka mulut mengenai kejayaan Malaysia menjuarai Pestabola Merdeka 2024 selepas menumpaskan Lubnan 1-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Beliau berkata, barisan kejurulatihan, pegawai dan para pemain bekerja sebagai satu pasukan ibarat sebuah keluarga besar yang utuh.

Sambil meluahkan rasa gembira dengan kemenangan itu, jurulatih dari Sepanyol itu turut menyifatkan kejayaan tersebut sebagai bukti simbolik atas kerja keras anak-anak buahnya.


"Ia satu aksi yang sukar. Semua pemain bekerja keras dalam aksi final dan ini adalah hari yang baik untuk diraikan. Fikiran saya ketika ini ialah kami sangat gembira dan layak untuk menang.

"Barisan pemain yang mantap dan hubungan dalam kalangan pegawai pasukan juga bagus. Hubungan erat secara keseluruhan. Itu antara kunci kejayaan pasukan," katanya pada sidang media sejurus tamat perlawanan.

Jaringan tunggal penyerang naturalisasi, Romel Morales pada babak pertama sudah cukup buat Malaysia merangkul gelaran kali ke-13 dan pertama sejak kemenangan terakhir pada tahun 2013 menerusi skuad bawah 23 tahun.
Menyentuh mengenai aksi tersebut Pau Marti berkata, pasukan berpeluang untuk menokok dua lagi jaringan pada separuh masa kedua, namun bergelut untuk mengekalkan tahap permainan konsisten seperti babak pertama.




"Separuh masa pertama sangat positif, kami berdepan lawan yang bertahan dengan sangat baik dan sukar untuk ditembusi. Namun kami masih dapat mengawal permainan dan bernasib baik dapat menghasilkan gol.

"Separuh masa kedua, kami bergelut untuk mengekalkan corak permainan yang sama dan mempunyai beberapa peluang serta boleh menjaringkan satu atau dua gol. Mungkin ia akan jadi berbeza untuk kita " katanya. - Sinar Harian