Borussia Dortmund tidak akan turun ke final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi esok untuk sekadar melihat Real Madrid menjulang trofi buat kali ke-15, kata ketua jurulatih kelab Jerman itu, Edin Terzic.

"Anda bukan hanya bermain dalam final, anda mahu memenangi final dan itulah sasaran kami yang amat jelas," kata Terzic, yang akan membuat perhitungan dengan idolanya, Carlo Ancelotti, kepada wartawan sebelum sesi latihan di Stadium Wembley awal pagi tadi.

"Kami gembira untuk berada di sini tetapi kami perlu menewaskan Real Madrid di Wembley dan menjulang trofi dengan tangan kami."

Dortmund menamatkan saingan Bundesliga di tangga kelima musim ini dan ramai tidak menjangkakan mereka mampu untuk menamatkan penantian ke final UCL buat kali pertama sejak 2013, di mana mereka tewas kepada seteru senegara, Bayern Munich, juga di Wembley.

Tetapi pasukan bimbingan Terzic itu mengejutkan Atletico Madrid dalam suku akhir sebelum mempamerkan taktikal luar biasa ketika menewaskan Paris Saint-Germain (PSG) 1-0 dalam kedua-dua perlawanan separuh akhir.

"Madrid memiliki peranan sebagai pasukan pilihan tetapi kami juga bukan pasukan pilihan ketika menentang Atletico dan Paris," tambah Terzic.

"Jika kami cukup berani dan bukan berada di sini untuk melihat Madrid menjulang trofi, kami akan memiliki peluang.

"Kami pasukan yang merekodkan perlawanan tanpa bolos tertinggi dalam kejohanan ini. Anda perlu sentiasa mengekalkan lawan jauh daripada kawasan gol anda.

"Kami bukanlah di tahap terbaik ketika kami dibolosi banyak gol pada September lalu tetapi kami sebuah pasukan yang amat berbeza ketika ini dan kami telah menunjukkan bahawa kami sudah bersedia untuk memenangi trofi ini," katanya.