BELANDA 3 ROMANIA 0

Gol daripada Cody Gakpo dan Donyell Malen dalam separuh masa berbeza memastikan Belanda mara ke suku akhir Euro 2024 dengan menewaskan Romania 3-0 dalam aksi pusingan 16 di Arena Allianz, Munich sebentar tadi.

Gakpo meletakkan Oranje di depan dengan gol pembukaannya pada minit ke-20.

Penyerang Liverpool itu menerima hantaran Xavi Simons sebelum melakukan gerakan solo menarik dari sebelah kiri untuk melepaskan satu rembatan serong yang menewaskan penjaga gol Romania, Florin Nita.

Belanda meneruskan penguasaan mereka dalam babak kedua tetapi bergelut untuk mencari penyudah terbaik bagi melebarkan kelebihan.

Virgil van Dijk hampir menamatkan penantian itu menerusi tandukannya yang diselamatkan penjaga gol pada minit ke-58.

Gakpo terus menjadi ancaman buat Romania dengan gerakan solo menariknya dari bawah ditamatkan dengan rembatan jarak jauh yang diselamatkan Nita.

Pemain berusia 25 tahun itu sekali lagi menggegarkan gawang lawan itu pada minit ke-64 tetapi jaringannya kali ini dibatalkan video bantuan pengadil (VAR) selepas dikesan berada di posisi ofsaid.

Penantian itu, bagaimanapun, ditamatkan pemain gantian, Malen, pada minit ke-83, di mana penyerang Borussia Dortmund itu mudah menolak masuk kuisan Gakpo.

Malen sekali lagi menemui sasaran dalam waktu kecederaan, kali ini menerusi larian pantasnya dari bawah susulan satu gerakan serangan balas pantas, sekali gus memastikan kemaraan Oranje ke suku akhir.