Pemain senior, Jan Vertonghen, yakin Belgium mampu bangkit dan mengetepikan segala tekanan untuk kembali dalam landasan kemenangan selepas ditewaskan oleh Slovakia dalam perlawanan kumpulan E Euro 2024 di Stadium Frankfurt, semalam.

Penyerang utama Slovakia, Ivan Schranz, menyudahkan peluang yang terhidang susulan kesilapan yang dilakukan pertahanan Belgium sebelum lontanan bola muntah disempurnakan pemain tersebut pada minit ketujuh permainan.

Peluang demi peluang gagal disempurnakan oleh ayam tambatan Belgium, Romelu Lukaku, dalam perhitungan ingin menyamakan kedudukan selepas kerap kali mensia-siakan kelebihan ketika melakukan serangan.

"Sudah tentu seluruh pasukan sedang berduka dan kecewa dengan keputusan itu dan sekarang semua pemain sedang menerima tekanan daripada pelbagai pihak.

"Perkara yang paling pasti ialah Belgium akan melakar kemenangan pertama dan kami akan merobek gawang pasukan lawan, Sabtu ini," kata bekas pemain Tottenham Hotspur.