Faktor ajaib tampak menyelamatkan karier pemain tengah KL City, Ryan Lambert, rentetan insiden terjahan ngeri penyerang Negeri Sembilan, Jacque Faye, dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi 21 Jun lalu.

Pemain kacukan Australia-Malaysia itu mengakui bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan serius.

Impak terjahan yang dialami Ryan dalam babak kedua perlawanan itu tampak berisiko menyebabkan kakinya patah.

Namun, mengejutkan tiada apa yang berlaku ke atas Ryan sebaliknya pemain berusia 26 tahun itu mampu meneruskan aksinya di atas padang.

Malah, pemain pinjaman dari Johor Darul Ta'zim (JDT) itu tidak menjalani sebarang pembedahan sebaliknya menjalani latihan seperti biasa sejak insiden itu.

Ryan bagaimanapun tidak menyimpan dendam ke atas Faye rentetan insiden berkenaan sebaliknya menegaskan ia sebagai situasi yang sukar dijangka dalam bola sepak.