EVERTON 5 BRIGHTON 1

Pengurus Everton, Sean Dyche, menegaskan pasukannya tidak pernah meragui diri kebolehan sendiri selepas kemenangan 5-1 ke atas Brighton, awal pagi tadi, melonjakkan Toffees dua mata di depan zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris (EPL).


Ia adalah kemenangan liga pertama Everton di tempat lawan dalam 14 percubaan dan keputusan ini tidak mungkin datang pada masa yang lebih tepat memandangkan hanya tiga perlawanan kini berbaki untuk memastikan keselamatan mereka.

Jaringan Abdoulaye Doucoure selepas 33 saat permainan terbukti menjadi titik tolak buat mereka beroleh keyakinan.



Dyche berkata: “Orang ramai di luar sana berfikir mungkin masih ada sisa harapan dalam pasukan ini tetapi bagi kami impian itu tidak pernah lenyap.

“Cuma saya perlu mengingatkan pemain tentang etika kerja, komitmen mereka terhadap matlamat, komitmen mereka kepada kumpulan adalah sangat penting kerana saya tahu mereka mempunyai kualiti.

“Saya sentiasa percaya adanya kualiti. Saya telah mengatakannya berkali-kali tetapi bercakap mengenainya tidak akan membantu anda memenangi perlawanan.

"Ia adalah satu bentuk mentaliti kolektif untuk turun dan mencurahkan segala kudrat anda.

“Kami sangat kecewa kerana tidak pulang dengan mata penuh (ketika menentang Leicester) tetapi kami menikmati ganjaran kerana meneruskan mentaliti itu dalam persembahan mereka malam ini.”