Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam, berkata Selangor tetap perlu melakui proses rayuan kepada badan penganjur itu terlebih dahulu seandainya mahu membawa isu denda yang dikenakan ke atas mereka kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Menurutnya lagi, Selangor kini memiliki tempoh empat hari untuk mengemukakan rayuan berkenaan dan proses penilaian akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga minggu sebelum MFL mengeluarkan sebarang keputusan.

Stuart, ketika ditemui wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, berkata: "Berdasarkan mekanisme bola sepak, pasukan itu sedar akan proses kehakiman berkenaan, jadi mereka boleh meneruskannya.

"Apapun, saya tidak mahu membuat sebarang andaian tentang apa yang mereka maksudkan dengan kiriman yang mereka lakukan.

"Kerana mereka hanya mahukan penyelesaian, jadi mereka tidak akan meminggirkan satu penyelesaian dan menambah satu penyelesaian baru.

"Saya percaya Selangor memahami proses ini.

"Daripada empat rayuan tersebut, badan rayuan akan meneliti proses keputusan dibuat dan jikalau daripada empat perkara tersebut memerlukan satu atau dua perkara untuk dipertimbangkan semula, ia boleh dilakukan oleh badan rayuan," katanya.

Petang semalam, pihak MFL telah mengeluarkan satu kenyataan berkaitan hukuman yang dikenakan kepada Selangor FC atas keputusan menarik diri daripada perlawanan Piala Sumbangsih pada bulan lalu.

Empat hukuman telah dikenakan, termasuk larangan kemasukan penonton bagi aksi menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan ke-14 liga akan datang selain denda berupa wang dan pemotongan mata.

Perkara itu telah menarik perhatian warga bola sepak tempatan sehingga kecoh di media sosial dan Selangor kemudian memuat naik satu kenyataan balas malam tadi bagi memberi respon terhadap hukuman berkenaan.