Juara Euro 2016, Portugal, tewas dalam perlawanan persahabatan antarabangsa sebagai aksi pemanas badan di tangan naib juara Piala Dunia 2018, Croatia, awal pagi tadi.

Pemain Real Madrid, Luka Modric, meletakkan pasukannya di depan selepas menyempurnakan sepakan penalti seawal minit kelapan susulan kekasaran yang berlaku di antara pemain Manchester City, Mateo Kovacic, dengan Vitinha.

Separuh masa pertama menyaksikan pasukan Croatioa mendominasi permainan dengan asakan bertali-arus menandakan mereka sudah bersedia menghadapi kejohanan Euro 2024 yang akan bermula 15 Jun ini.

Meskipun dengan rangkaian pemain ternama seperti ayam tambatan Manchster City, Bernardo Silva, ketua pasukan Manchester United, Bruno Fernandes, penyerang Barcelona, Joao Felix dan pemain muda Paris Saint-Germain (PSG), Goncalo Ramos, ia tidak menggugat kekebalan penjaga gol utama Croatia, Dominik Livakovic.

Masuk kepada babak kedua perlawanan, penyerang sensasi Liverpool, Diogo Jota, berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-48 untuk mengimbangi aksi tersebut.

Namun, kelebihan berpihak kepada pasukan pelawat susulan jaringan Ante Budimir yang memberikan kemenangan buat Croatia sekali gus mencatat gol peribadi ketiganya bersama pasukan kebangsaan.