Persatuan Bolasepak Brazil (CBF) mengesahkan bahawa Lucas Paqueta akan kekal berada dalam skuad negara itu bagi saingan Copa America bulan depan walaupun sedang berdepan dakwaan melanggar peraturan pertaruhan oleh Persatuan Bolasepak Inggeris (FA).

Ogos lalu, dilaporkan bahawa FA membuka sisasatan mengenai aktiviti pertaruhan mencurigakan melibatkan pemain itu, yang dikatakan sudah memberi kerjasama sepenuhnya kepada FA dalam sesi pendengaran pada Mac lalu.

Pemain tengah West Ham itu dituduh dengan sengaja mendapatkan kad dalam empat perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL), tiga dalam musim 2022-23 selain perlawanan pembukaan musim 2023-24 dan dia kemudian didakwa baru-baru ini.

Paqueta, yang memiliki masa sehingga 3 Jun ini untuk memberikan respons terhadap dakwaan berkenaan, menjawab mengenai situasi itu dengan berkata dalam laman sosialnya: "Saya menafikan keseluruhan dakwaan itu dan akan berjuang dengan setiap nafas untuk membersihkan nama saya."

CBF kini mengesahkan Paqueta akan kekal berada dalam skuad kebangsaan mereka menjelang kejohanan berkenaan selepas perbincangan di antara dua badan induk bola sepak itu.

Sebagai rekod, Selecao merupakan juara sembilan kali Copa America dan akan membuka kempen edisi ini dengan bertemu Costa Rica bagi aksi Kumpulan D pada 24 Jun ini.