Menjelang pertemuan pertama pasukan wanita Sabah dalam saingan kumpulan Liga Juara-Juara Wanita Asia (AWCL), ketua jurulatih, Justin Ganai, memasang hasrat untuk ke pusingan kalah mati kejohanan tertinggi itu yang akan bermula esok.

Justin Ganai optimis dengan kemampuan anak-anak buahnya untuk melakar sejarah menjadi pasukan bola sepak wanita pertama ke peringkat seterusnya.

"Sudah tentu kami mahu menggapai semua kemenangan dalam peringkat kumpulan, namun apabila bercakap mengenai pasukan besar (Wuhan Jiangda, Incheon Red Angels dan Abu Dhabi Country Club) yang diundi bersama dalam Kumpulan A sangat mencabar buat kami.

"Kami akan membuat sehabis baik sambil mengharapkan sebuah keajaiban berlaku untuk mara ke pusingan seterusnya," katanya ketika sidang media.





Kapten pasukan, Steffi Sindhu Kaur, menyeru agar rakan sepasukan memberikan 200 peratus selain menjadikan ia sebagai peluang terbesar beraksi menentang pasukan serata Asia yang lain.

"Kekuatan pasukan lawan berada di tahap tertinggi, tetapi yang paling adalah kami tidak berputus asa dan bermain dengan permainan sebenar kami.

"Semuanya pasti berjalan lancar kerana semua pemain sudah mempunyai keserasian dan pengalaman yang luas, jadi kami akan berusaha sebaik mungkin," katanya.