Bekas jurulatih skuad kebangsaan England, Gareth Southgate muncul calon utama menggantikan Erik ten Hag sekiranya pengendali dari Belanda itu dipecat Manchester United, menurut ramalan Superkomputer.

Ten Hag berdepan tekanan semakin memuncak di Old Trafford, susulan permulaan hambar musim 2024/25 yang menyaksikan The Red Devils terperosok di tangga ke-12 dalam carta Liga Perdana Inggeris (EPL).

Ramalan Superkomputer oleh BoyleSports merumuskan Southgate mempunyai 34.8 peratus peluang dilantik sebagai bos United berbanding legenda kelab, Ruud Van Nistelrooy.

Nistelrooy, 48, dilihat calon kedua paling hampir menggantikan Ten Hag dengan 33.3 peratus peluang.

Bekas penyerang prolifik United itu kembali ke Old Trafford musim ini selepas dilantik sebagai penolong Ten Hag.

Sementara bekas pengurus Chelsea dan Bayern Munich, Thomas Tuchel mempunyai 13.3 peratus peluang membimbing United.

BoyleSports turut merumuskan nama-nama seperti Thomas Frank, Kieran McKenna, Graham Potter, Michael Carrick, dan Zinedine Zidane hanya mempunyai peluang kurang lima peratus untuk menggantikan Ten Hag.

Difahamkan, Ten Hag masih diberi talian hayat oleh United dengan masa depannya ditentukan berdasarkan dua perlawanan selepas ini.

United akan menentang gergasi Primeira Liga, Porto dalam saingan Liga Europa pada Jumaat sebelum bertandang ke Villa Park untuk aksi EPL menentang Aston Villa dua hari kemudian. - Sinar