ATLETICO MADRID 0 GRANADA 0

Peluang Atletico Madrid untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan kian terjejas selepas terikat tanpa jaringan dengan pasukan yang sedang bergelut di zon penyingkiran LaLiga, Granada, awal pagi tadi.

Pasukan juara bertahan itu kini berada di tangga kedua tetapi hanya mendapatkan satu mata daripada lawan yang sedang bergelut di kelompok bawahan berkenaan di Wanda Metropolitano.

Atleti kelihatan kurang berkesan di bahagian hadapan selepas Joao Felix terpaksa diketepikan sepanjang baki musim ini gara-gara kecederaan paha, di mana hanya Matheus Cunha hampir memecahkan kebuntuan pada penghujung permainan.

Pasukan bimbingan Diego Simeone itu hanya dapat menghasilkan satu percubaan tepat sepanjang 90 minit menentang Granada.

Yannick Carrasco merupakan penjaring gol kemenangan Atleti ketika menewaskan Espanyol hujung minggu lalu dan pemain sayap Belgium itu melakukan percubaan yang terbias dan tersasar selepas disenaraikan dalam kesebelasan utama.

Rodrigo de Paul turut berkesempatan untuk memecahkan kebuntuan selepas menerima hantaran Koke tetapi percubaannya diselamatkan penjaga gol, Luis Maximiano.

Atleti kemudian mendakwa mereka patut diberikan sepakan penalti susulan terjahan Victor Diaz ke atas Antoine Griezmann pada penghujung babak pertama tetapi pengadil, Jesus Gil Manzano, dan video bantuan pengadil (VAR) mendapati tiada sebarang kekasaran dalam insiden itu.

Simeone memberikan respons selepas waktu rehat dengan memasukkan Luis Suarez dan Sime Vrsaljko bagi menggantikan Javier Serrano dan Reinildo Mandava tetapi tiada sebarang jaringan terhasil sehingga ke wisel penamat.