Mikel Arteta memberikan pandangan yang lebih positif buat Arsenal musim ini selepas merekodkan kemenangan terbaru ke atas West Brom bagi memastikan pasukan itu menang dalam tiga perlawanan berturut-turut selain hanya ketinggalan enam mata daripada kedudukan empat teratas.
Muzaffar Musa
Sun Jan 03 2021
Mikel Arteta memberikan pandangan yang lebih positif buat Arsenal musim ini selepas merekodkan kemenangan terbaru ke atas West Brom bagi memastikan pasukan itu menang dalam tiga perlawanan berturut-turut selain hanya ketinggalan enam mata daripada kedudukan empat teratas.
Hanya 10 hari selepas pengurus West Brom, Sam Allardyce, berkata Arsenal sememangnya akan bergelut di zon penyingkiran, skuad The Gunners itu membelasah pasukan kendalian bekas pengendali England berkenaan untuk kini menjarakkan diri dengan 12 mata daripada zon berkenaan.
The Baggies jelas bukan tandingan Arsenal apabila dibolosi oleh Kieran Tierney dan Bukayo Saka dalam babak pertama sebelum membenarkan Alexandre Lacazette menjaringkan gol berganda dalam babak berikutnya.
Ketika West Brom menjadi pasukan pertama tewas dua perlawanan berturut-turut di gelanggang sendiri dengan jurang empat gol atau lebih sejak Wigan Athletic melakukannya pada 2010, Arsenal pula memperoleh tiga kemenangan berturut-turut selepas hanya memenangi dua daripada 14 perlawanan pertama.
Kemenangan ke atas Chelsea, Brighton and Hove Albion dan kini West Brom tiba selepas waktu perayaan singkat yang kembali menyemarakkan semangat di Stadium Emirates.
"Saya amat gembira kerana kami dapat mencapai sasaran yang kami tetapkan," kata Arteta kepada BT Sport.
"Kedudukan liga kini amat berbeza, tenaga di tempat ini jauh lebih baik dan kemenangan ini akan memberikan lebih keyakinan.
"Anda dapat melihatnya dalam prestasi hari ini dan cara kami bermain," katanya.
Perlawanan itu berlangsung dengan padang yang dilitupi salji di The Hawthorns, yang mana Arteta berasakan ia memberikan kesukaran buat Arsenal biarpun mereka memonopoli 61.6 peratus penguasaan bola selain menjana 31 percubaan.
Arteta berkata: "Ia satu kemenangan yang amat meyakinkan. Untuk memenangi kesemua tiga perlawaan EPL terakhir pada waktu Krismas bukanlah sesuatu yang mudah.
"Saya fikir hari ini, jika cuacanya dan keadaan untuk bermain lebih baik, kami dapat mempamerkan bola sepak yang hebat.
"Pada akhirnya, kami berjaya mencipta beberapa momen dalam kondisi seperti itu dan cara kami bermain kerana keadaan padang seperti itu amat menyukarkan," katanya.