Pengendali AC Milan, Gennaro Gattuso, tidak akan menghakimi tahap bola sepak England selepas aksi lakonan Danny Welbeck membantu Arsenal menundukkan pasukannya 3-1 sambil menyifatkan penyerang itu melakukan perkara sepatutnya.

Anak buah Gattuso itu mendahului 1-0 menerusi percubaan jarak jauh Hakan Calhanoglu untuk merapatkan jurang menerusi agregat, namun dipadamkan dengan sepakan penalti Welbeck, selepas pengadil perlawanan, Jonas Eriksson, mendakwa Ricardo Rodriguez menarik baju penyerang England itu.

Milan gagal mengimbangi perlawanan selepas itu, membenarkan Granit Xhaka dan Welbeck menambah dua lagi gol untuk menamatkan cabaran Rossoneri dalam saingan Liga Europa, musim ini.

"Saya tidak mahu bercakap mengenai pengadil. Kami tidak dapat menyalahkan nasib.

"Welbeck adalah seorang penyerang dan dia melakukan perkara sepatutnya. Kami tidak boleh menjadikan isu itu sebagai peluang untuk menghakimi bola sepak England kerana mereka sentiasa menampilkan aksi terbaik," katanya.

Gattuso dilihat berang sepanjang perlawanan sehingga tercetus insiden balingan bola daripadanya yang mengenai muka pemain Arsenal, Nacho Monreal, namun kedua-duanya dilihat bersalaman selepas tamat aksi.

"Saya mahu meminta maaf kepada Monreal. Mungkin ia nampak seperti saya dengan sengaja membaling bola ke mukanya tetapi saya tidak berniat," jelasnya.

Dalam masa sama, dia juga tidak menyembunyikan kekecewaannya selepas melihat Milan melepaskan gol ketiga.

"Saya sangat kecewa kerana selepas beberapa tahun, kami hanya datang ke sini untuk tewas 1-3.

"Apabila anda berada di atas padang, anda tidak boleh berputus asa dan melepaskan gol dengan mudah. Jaringan ketiga sangat mengecewakan. Kami harus bermula daripada mentaliti pasukan," tambah Gattuso.