Menjelang perlawanan kedua Kumpulan B diantara Kuala Lumpur City menentang Bornea FC Samarinda, Miroslav Kuljanac tekad mahu mencari kemenangan kedua selepas membenam Kaya FC Ilo-Ilo dalam kejohanan ACC Shopee Cup di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam esok.

Ketika sidang media pra perlawanan tersebut, pengendali yang berasal dari Croatia itu telah membuat ulang kaji mengenai lawannya demi memastikan tiga mata penuh berhasil didapatkan di halaman sendiri.

Menurut pengurus pasukan yang berusia 54 tahun itu, dia ada berhubung dengan ketua jurulatih Persib Bandung merangkap bekas pengendali skuad The City Boys, Bojan Hodak, untuk mendapatkan informasi mengenai pasukan Borneo FC Samarinda itu.


Berdasarkan pemerhatiannya, skuad Our Dolphins itu sedang menduduki tempat kedua Liga 1 Indonesia dan sudah mengutip empat kemenangan serta mengumpul 14 mata selepas enam aksi.

"Apa yang boleh saya katakan, kebanyakan perlawanan mereka menurukan kesebelasan utama yang sama dan tidak menerapkan gaya permainan yang berbeza.

"Mereka tidak memikirkan berkenaan siapakah lawan mereka selain mempunyai kekuatan serangan yang tingi dan sangat memahiri situasi bola mati," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.