Tonggak serangan skuad kebangsaan, Paulo Josue, percaya revolusi yang sedang dilakukan Harimau Malaya mampu menjadi pencetus kepada kebangkitan bola sepak negara menerusi sentuhan individu hebat dari pengurusan tertinggi sehinggalah ke barisan kejurulatihan.

Dalam perkongsiannya bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, pemain kelahiran Brazil itu mahu menjadikan tragedi di Oman sebagai iktibar untuk memastiikan misi layak ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi bukan sekadar omong kosong.

Sebagai rekod, Malaysia gagal ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia dan gagal mengesahkan kelayakan ke Piala Asia lebih awal selepas menamatkan saingan pusingan kelayakan kedua di Oman di tempat ketiga daripada empat pasukan.

"Saya fikir ia berita yang baik buat pasukan kebangsaan seperti yang saya lihat di dada akhbar.

"Saya mengharapkan yang terbaik buat pasukan kebangsaan dengan kedatangan pegawai baru seperti CEO (ketua pegawai eksekutif) dan ketua jurulatih baru di Harimau Malaya.

"Saya mendoakan yang terbaik dan berharap setiap pemain dapat memberikan komitmen kepada mereka untuk membina pasukan yang kuat.

"Jika mereka memerlukan saya, saya sentiasa ada tetapi sudah pasti ia bukan terpulang kepada saya, ia terpulang kepada jurulatih.

"Saya akan berusaha keras bersama Kuala Lumpur (City) untuk menunjukkan sokongan saya buat pasukan kebangsaan," katanya.