Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin, tidak berselindung mahu mencuba nasib bertanding kerusi panas jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjelang kongres pemilihan badan induk itu bulan depan.

Jangan terkejut jika borang pencalonan dirinya tiba di Wisma FAM, Kelana Jaya walaupun mungkin ia hanya hadir sehari sebelum permohonan ditutup pada 16 Januari ini.

Menurutnya, posisi Presiden FAM memiliki kepentingan buat tiga acara bola sepak melibatkan atlet para yang mahu di perjuangkannya

"Sehari seblum (tarikh tutup) mungkin saya letak pencalonan," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.

"Benar saya mahu mengetengahkan tiga sukan bola sepak para kerana pada 2023, skuad bola sepak cerebral palsy dapat emas."

Megat Shahriman menambah , jika benar FAM ketika ini diterajui 'tangan ghaib', dia memiliki cara untuk menyeimbangkan keperluan hakiki dan kepentingan pihak tertentu.

"Jika benar ada tangan ghaib, anda perlu berkemampuan untuk mengawal tangan ghaib.

"Tetapi, apabila anda mengawalnya, anda tidak boleh berkomrpomi dengan perlembagaan, prosedur, tatakelola kerana semua perkara seperti itu tidak boleh diabaikan.

"Anda tidak boleh membuat keputusan tanpa konsensus kerana ia salah.

"Sama ada wujud tangan ghaib atau tidak, anda perlu memberikan saranan kerana semua orang memiliki akauntabilitinya.

"Anda perlu mengawalnya dan menyarankan kepada tangan ghaib itu apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak sepatutnya," tambahnya.