Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi, menganggap pengalaman luasnya dalam badan induk itu bukan jaminan untuk mempertahankan jawatannya menjelang Kongres Pemilihan FAM bulan depan.

Sebaliknya, dia menjadikan ahli gabungan FAM sebagai kuasa penentu barisan kepimpinan baru itu.

Yusoff berada dalam struktur FAM sejak lebih sedekad lalu dan memainkan peranan dalam pelbagai aspek pembangunan bola sepak di Malaysia.

Bukan sahaja penglibatannya dalam bola sepak sebagai pengurus skuad negara, dia juga pernah memacu arena futsal negara selaku Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM.

Dia juga antara individu penting menggerakkan Liga Amatur dalam sistem bola sepak Malaysia sebagai pengerusi Liga Bolasepak Amatur (AFL).

"Pemilihan kali ini akan menentukan hala tuju masa depan bola sepak kerana akan ada banyak perubahan berlaku," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

"Ketika ini juga kita dapat lihat banyak perubahan dalam bola sepak Malaysia dan FAM itu sendiri.

"Dengan perubahan itu, sukar untuk dijangkakan apa yang ahli gabungan mahukan bagi masa akan datang."