Teguran legenda olahraga negara, Datuk Marina Chin, terhadap Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) perlu dijadikan pedoman supaya lebih teliti dan tidak mengulangi isu rekod yang tidak diiktiraf, seperti yang menimpa ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, baru-baru ini.

Marina menegaskan, isu seperti itu akan meruntuhkan semangat atlet yang telah bekerja keras dan pastinya pihak yang berkenaan perlu mengatasi segala kekurangan yang ada dalam melahirkan atlet berprestasi tinggi.

Terdahulu, Zaidatul Husniah memadamkan rekod 100 meter wanita kebangsaan berusia 31 tahun milik G. Shanti dengan catatan 11.49 saat dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Perlis Cahya Mata Sarawak Super Series V di Stadium Tuanku Syed Putra pada Oktober tahun lalu.

Bagaimanapun, catatan itu pada mulanya tidak diiktiraf Olahraga Dunia (WA) kerana ketiadaan dokumen bacaan angin.

Pada Khamis lalu, KOM akhirnya mengumumkan bahawa rekod itu sudah diiktiraf WA.

"Saya harap pihak persatuan boleh lebih teliti berkenaan perkara seperti ini dan janganlah sampai rekod tidak diiktiraf lagi," katanya seperti yang dilaporkan wartawan Astro Arena, Zaki Zainal.

"Ia amat menjatuhkan semangat atlet, yang telah bekerja keras memburu catatan masa dan apabila berjaya, mereka katakan ia tidak diiktiraf.

"Saya rasa ia satu keputusan yang bagus dan saya rasa itulah apa yang diharapkan (Zaidatul Husniah). Saya mahu melihat dia bersara selepas memenangi pingat emas Sukan SEA atau apa-apa sahaja seperti itu

"Seperti yang saya katakan, jangan tunggu Zaidatul seorang sahaja, masih ada ramai atlet remaja, jadi saya harap sesiapa yang berkenaan akan menggunakan segala sumber dan fasiliti yang ada di ISN (Institut Sukan Negara) dan MSN (Majlis Sukan Negara) untuk kita mengekalkan tahap sedia ada dan bergerak ke depan," katanya.