Ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, sekali lagi melalui pengembaraan emosi penuh berliku apabila rekod 100 meter kebangsaan yang dilakarnya dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Perlis Cahya Mata Sarawak Super Series V di Stadium Tuanku Syed Putra pada Oktober lalu diklasifikasikan sebagai 'tidak sah' oleh Olahraga Dunia (WA).

Sehingga kini, masih belum ada sebarang pengiktirafan daripada WA berkenaan rekod 11.49 saat itu atas sebab teknikal biarpun Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memberikan jaminan kepada pelari berusia 31 tahun berkenaan.

Senario itu bagaikan dejavu buat Zaidatul Husniah, yang pernah dikecewakan apabila catatan 11.45s yang dirakamkannya di Afrika Selatan pada 2017 tidak diiktiraf -- juga atas masalah teknikal.

"Saya agak terkejut dengan berita rekod kebangsaan saya tidak diiktiraf," katanya kepada wartawan Astro Arena, Karl Nunis.

"Ia amat menyakitkan hati, sewaktu saya dapat tahu, saya sedang memandu pulang dari sebuah acara.

"Ia amat mengguris hari saya kerana ia berulang lagi. Sebelum ini, saya juga pernah memecahkan rekod G. Shanti dengan melakukan catatan 11.45s tetapi ia tidak diiktiraf.

"Sudah pasti saya rasa terkilan kerana bukan mudah untuk memecahkan rekod itu untuk diisytiharkan sebagai ratu pecut yang baru.

"Saya rasa kerja keras saya selama ini berbaloi apabila saya memecahkan rekod itu," katanya.