Negeri Sembilan terus dihantui badi kekalahan di halaman sendiri selepas gagal membuktikan kelebihan bermain di hadapan penyokong kesayangan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Tonggak utama Perak, Clayton da Silva, muncul sebagai wira apabila menjaringkan gol kemenangan buat skuad The Bos Gaurus pada minit ke-47 selepas mudah menampan bola hasil gelecekan pemain berjersi 30, Luka Milunovic.


Penggantian pemain yang dilakukan skuad kendalian Nantha Kumar Kalliappan tidak mengubah keputusan permainan sebaliknya terus buntu mencari jaringan penyamaan.

Kemasukan Ikhwan Yazek dan Hadin Azman tidak memberi sebarang impak buat Sang Rusa yang terus dihimpit malang demi memperbaiki kedudukan dalam saingan Liga Super Malaysia.

Pasukan Yusri Che Lah hampir menggandakan jaringan susulan video bantuan pengadil (VAR) mengesahkan penalti selepas mendapati Izzudin Roslan melakukan kekasaran terhadap Azfar Fikri Azhar, namun kecemerlangan Aqil Abdul Razak menyelamatkan sepakan tersebut daripada dibolosi kali kedua.

Tamat aksi menyaksikan Perak berhasil mendapatkan kemenangan ketiga liga sekali gus menduduki tempat kelapan dengan sembilan mata.