Perlawanan yang pada asalnya hanya satu lawan satu di antara Seth Rollins dan Juara WWE Big E di acara sulung WWE untuk tahun 2022 bertukar menjadi empat penjuru dengan kemasukan Kevin Owens dan Bobby Lashley.

Namun situasi tambah menarik apabila pagi ini, Juara Universal WWE Roman Reigns terpaksa menarik diri pada saat akhir kerana disahkan dijangkiti Covid-19. Sekaligus memaksa pencabarnya Brock Lesnar dimasukkan sebagai peserta kelima dalam pertembungan lima penjuru bagi merebut Kejuaraan WWE yang disandang Big E.

Perlawanan kemuncak acara WWE Day 1 terus berjalan rancak apabila Kevin Owens dan Seth Rollins saling bekerjasama dengan bersatu tenaga cuba menumbangkan Lashley, Big E dan Brock Lesnar. Namun sebagai bekas juara antara yang paling lama dalam sejarah WWE, Brock mudah mematahkan serangan dengan melancarkan gerakan Suplex City kepada Owens dan Rollins berkali-kali di tengah gelanggang.

Lashley juga tidak terkecuali dengan meletakkan sasaran ke atas Lesnar. Satu rempuhan bahu yang cukup ampuh diberikan ke atas Lesnar, membuatkan The Beast terperosok di besi penghadang penonton di luar gelanggang.

Big E yang cuba sedaya upaya untuk mempertahankan kejuaraannya juga nyaris beroleh kemenangan apabila berjaya melancarkan gerakan penyudah Big Ending ke atas Lashley. Namun usahanya untuk melakukan gerakan yang sama ke atas Lesnar tidak menjadi apabila ia berjaya dikesampingkan dan Lesnar lantas mengenakan hempasan F5 bertenaga ke atas Big E.

Tiga kiraan pin disudahkan pengadil dan lantas nama Brock Lesnar diumumkan sebagai Juara WWE yang baharu.

Kemenangan Lesnar ini sekaligus mengubah lanskap sedia ada di WWE. Roman Reigns pastinya mampu tersenyum girang dan menarik nafas lega kerana Lesnar sudah tentu tidak lagi mengidam kejuaraan Universal miliknya kerana telah bergelar Juara WWE dan akan aktif di jenama Raw yang merupakan tempat kejuaraan tersebut dipertandingkan buat masa ini.

Perkembangan ini sekaligus memberi ruang untuk mencetus perlawanan impian di antara Bobby Lashley dan Brock Lesnar yang selama ini didambakan oleh The All Mighty sendiri dan juga seluruh WWE Universe. Tidak mustahil, dua bintang perkasa ini akan dipertemukan tidak lama lagi, sama ada pada waktu terdekat atau tidak mustahil untuk dijadikan perlawanan acara kemuncak Wrestlemania pada April nanti.

Keputusan lain acara WWE Day 1:

1. Sheamus & Ridge Holland kalahkan Cesaro & Ricochet

2. The Usos pertahan Kejuaraan Beregu Smackdown dengan menumpaskan King Woods dan Sir Kofi Kingston

3. Drew McIntyre kalahkan Madcap Moss

4. The Street Profits gagal rampas Kejuaraan Beregu Raw daripada RK-Bro

5. Edge kecewakan The Miz

6. Becky Lynch kekal sebagai Juara Wanita Raw dengan mengetepikan cabaran daripada Liv Morgan

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan acara WWE Royal Rumble 2022 pada 30 Januari 2022 dan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.