Dinamakan sebagai The Most Stupendous Wrestlemania, peminat gusti profesional di seluruh dunia begitu teruja untuk menantikan acara tahunan terbesar WWE itu dengan pelbagai pengisian menarik telah dijadualkan sepanjang hujung minggu yang padat dalam menuju kepada puncak acara pada Isnin ini.

Memasuki edisi ke-38, acara Wrestlemania akan memulakan mukadimahnya di acara WWE Smackdown esok di mana beberapa perlawanan preview bakal berlangsung. Perlawanan tempur beramai-ramai Andre The Giant Battle Royal bagi merebut trofi bintang legenda gergasi itu akan mengambil tempat di acara ini. Ia termasuk perlawanan bagi merebut Kejuaraan Antara Benua di mana penyandang juara Ricochet akan menghadapi cabaran daripada pasangan sepupu Los Lotharios gandingan Humberto Carillo dan Angel Garza.


Sebaik sahaja acara Smackdown minggu ini tamat bersiaran, sebuah lagi acara wajib yang menghiasi minggu Wrestlemania saban tahun iaitu majlis penganugerahan Hall Of Fame WWE akan menyusul. Selepas dua tahun acara berprestij bagi mengiktiraf bintang-bintang legenda WWE ini ditangguhkan kerana pandemik Covid 19, tahun ini ia kembali bagi mengangkat bintang-bintang legenda ini ke tempat selayaknya iaitu sebagai bintang Hall Of Fame WWE.


Buat pertama kalinya, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap pemilik WWE Vince McMahon akan menjadi individu yang akan menyampaikan gelaran Hall Of Fame khas buat bintang WWE yang paling setia iaitu tidak lain dan tidak bukan, The Undertaker yang telah mengisytiharkan persaraannya dua tahun lalu. The Phenom akan mengepalai senarai penerima anugerah Hall Of Fame tahun ini bersama bintang-bintang legenda lain seperti Vader, Queen Sharmell, The Steiner Brothers dan penerima anugerah khas Warrior Award iaitu mendiang Shad Gaspard yang terkorban ketika menyelamatkan anaknya daripada lemas pada tahun 2020 yang lalu.

Kemeriahan minggu Wrestlemania akan diteruskan pada hari berikutnya apabila jenama ketiga WWE iaitu WWE NXT 2.0 akan bersiaran dalam acara NXT Stand & Deliver. Sejak jenama pembangunan bakat ini diberikan nafas baharu bermula September tahun lepas, ini merupakan acara premium terbesar pertama untuk bintang-bintang muda NXT bagi menyerlahkan bakat mereka dalam usaha untuk digilap sebagai bintang besar WWE di masa hadapan.


Antara perlawanan yang dinanti-nantikan pastinya perebutan Kejuaraan NXT di mana Bron Breakker akan berusaha untuk merampas semula kejuarannya yang terlepas ke tangan bintang veteran Dolph Ziggler beberapa minggu lalu. Anak kepada legenda Rick Steiner ini sudah tentu ingin memastikan bengkung kejuaraan terulung jenama warna-warni itu terus berada di jenama mereka dan bukan dimiliki oleh individu dari jenama utama Raw atau Smackdown.

Antara perlawanan lain yang juga akan berlangsung adalah perlawanan bertangga bagi merebut Kejuaraan Amerika Utara NXT yang kini disandang Carmello Hayes, perlawanan empat penjuru bagi merebut Kejuaraan Wanita NXT di antara sang juara Mandy Rose, Io Shirai, Cora Jade dan Kay Lee Ray, LA Knight menentang Gunther dan banyak lagi.

Secara langsung bermula seawal jam 6.00 pagi pada Ahad ini, acara Wrestlemania 38 untuk hari pertama akan melakukan sepak mulanya. Beberapa perlawanan menarik telah dimuktamadkan dan tumpuan pastinya terarah kepada pertembungan di antara Juara Wanita Smackdown Charlotte Flair yang akan berhadapan dengan pemenang perlawanan Royal Rumble wanita 2022 iaitu “Rowdy” Ronda Rousey. Bengkung Kejuaraan Wanita Raw turut akan dipertandingkan pada hari pertama Mania di mana Bianca Belair akan bertemu dengan Big Time Becks Becky Lynch untuk menebus semula beberapa kekalahannya kepada bintang wanita kelahiran Ireland itu sejak di acara Summerslam tahun lalu.


Tanda tanya siapa yang akan menjadi lawan kepada Seth “Freaking” Rollins juga akan terjawab di mana individu misteri pilihan Mr McMahon ini akan muncul bagi memberi peluang kepada Rollins untuk beraksi di Wrestlemania. Setakat laporan ini ditulis, ia masih menjadi tanda soal siapakah individu tersebut. Ramai yang meramalkan Cody Rhodes yang baru-baru ini dilaporkan telah kembali ke pangkuan WWE setelah meninggalkan sebuah organisasi gusti lain yang diasaskannya sejak 2018. Kepulangan semula Cody pastinya akan memberi impak yang besar kerana Cody kini bukan lagi Cody ketika di WWE beberapa tahun lepas. Dengan gelaran American Nightmare, Cody kini semakin matang dan bijak melakukan pelbagai percaturan, dan ia tidak boleh dipandang ringan oleh Seth Rollins.


Namun jika bukan Cody yang menjadi pilihan Mr McMahon, terdapat beberapa lagi calon lain dan antara yang disebut-sebut adalah Shane McMahon atau tidak mustahil bintang legenda Bill Goldberg.

Wrestlemania hari pertama ini juga amat ditunggu-tunggu kerana peminat menantikan semula kehadiran bintang legenda Stone Cold Steve Austin yang bersetuju untuk menjadi tetamu undangan di segmen KO Shows bersama Kevin Owens. Namun pastinya ini bukan segmen bual bicara yang hanya akan berbual kosong. Sebaliknya kita mungkin dapat menyaksikan Stone Cold melupakan seketika persaraannya selama 19 tahun untuk berentap dengan Owens dalam membuktikan gerakan penyudah stunner siapa yang lebih ampuh.


Dengan pelbagai perlawanan yang telah disenaraikan, memang tidak cukup untuk Wrestlemania berlangsung hanya sehari. Justeru acara hari kedua juga tambah mengujakan di mana ia juga akan bersiaran pada pagi Isnin ini waktu tempatan. Pertembungan juara lawan juara di antara Juara Universal WWE Roman Reigns dan Juara WWE Brock Lesnar akan menjadi medan untuk membuktikan siapakah juara mutlak di antara dua jaguhan ini. Menariknya, pertemuan ini merupakan perlawanan untuk menyatukan kedua-dua gelaran utama di WWE ini dan selepas ini hanya akan ada seorang sahaja juara sebenar di WWE pasca perlawanan epik ini kelak.


Jika hanya ada seorang sahaja juara, terdapat kemungkinan Raw dan Smackdown mungkin akan digabungkan semula menjadi sebuah payung besar dan tidak lagi terpecah seperti sekarang. Atau jika pemecahan jenama masih berlaku, sang juara boleh tampil di mana-mana jenama yang dikehendaki dan boleh dicabar oleh sesiapa sahaja tanpa mengenal batas jenama. Apa pun, persoalan ini kita tinggalkan dulu dan yang lebih penting kini adalah ingin menyaksikan siapakah yang lebih unggul di antara The Tribal Chief atau The Beast.

Perlawanan di hari kedua yang juga akan ditampilkan adalah seperti pertempuran di antara bintang legenda Edge yang mengikat janji temu dengan AJ Styles, Bobby Lashley menentang jaguh gergasi Omos, perlawanan tiga penjuru bagi merebut Kejuaraan Beregu Raw di antara RK-Bro, Alpha Academy dan Street Profits serta banyak lagi.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan kesemua acara ini bermula esok, eksklusif di WWE Network saluran 821.

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia,WWENetwork. Saksikan acara WWE Wrestlemania dua hari berturut-turut pada 3 & 4 April ini dan kesemua acaraWWEPay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusifWWENetwork, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.