Hasrat untuk melihat pelumba harapan negara, Hafizh Syahrin Abdullah, mengutip mata dalam Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) tidak kesampaian apabila mengakhiri kedua-dua perlumbaan di Litar TT Assen, Belanda, di kelompok belakang.

Perlumbaan pertama kelmarin menyaksikan pelumba MIE Racing Honda Team itu sekadar mengakhiri saingan di kedudukan ke-20.

Namun, dia bangkit memperbaiki kedudukan biarpun jenteranya menghadapi masalah teknikal apabila mendaki tiga anak tangga untuk menamatkan perlumbaan kedua di kedudukan ke-17, semalam.

"Perlumbaan kali ini memang saya agak kecewa dengan keputusannya untuk diberikan kepada peminat yang sentiasa memberi sokongan.

"Saya tidak mempunyai sumber untuk tingkatkan jentera ini dan hanya mampu berikan yang terbaik untuk pasukan tapi agak sukar.




"Kru saya pun tahu yang kami sukar berikan saingan kepada pencabar lain.

"Saya harap selepas ini kami mempunyai sesuatu yang baru untuk jentera ini kerana kali ini kami hanya sempat untuk menyiapkannya ke atas rakan sepasukan (Leandro Mercado) tapi kemampuan kami masih jauh berbanding dengan jentera kilang Honda.

"Saya harap pasukan dapat memberikan sesuatu yang berlainan dalam perlumbaan berikutnya," katanya menjelang perlumbaan di Estoril, Portugal, hujung bulan depan.