Menjelang perlumbaan pusingan ketiga Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Motegi, Jepun awal bulan depan, pelumba TKKR Racing Team, Azlan Shah Kamaruzaman, berkata dia sedang menikmati persaingan sihat dengan pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah.

Azlan Shah memenangi perlumbaan pertama pusingan pertama di Litar Antarabangsa Chang, Thailand bulan lalu tetapi dia menamatkan perlumbaan pertama pusingan kedua di Litar Zhuhai, China di tempat ketiga minggu lalu, di mana Hafizh Syahrin menamatkannya selaku juara.

Menyedari kekuatan yang dimiliki pelumba kelahiran Ampang itu, Azlan Shah, yang pernah bersaing dengan El-Pescao dalam Kejuaraan Dunia Moto2, mengakui amat teruja dan seronok bersaing dengan pelumba berkenaan, yang disifatkannya amat berpengalaman.

"Saya menyasarkan satu lagi penamat podium di Motegi," katanya ketika dijemput sebagai tetamu dalam Nadi Arena sebentar tadi.

"Kerana saya mahu mencuba merapatkan jurang dalam kedudukan keseluruhan.

"Saya sedar sekarang ini sudah ada pasukan JDT dengan Hafizh Syahrin sebagai pelumba.

"Dia sememangnya seorang pelumba yang amat berpengalaman dan saya juga pernah bersaing dengannya dalam Kejuaraan Dunia.

"Ia memang satu cabaran buat saya tahun ini dan bagi saya, ia cabaran yang menyeronokkan untuk kami bersaing bersama-sama," katanya.