Sempena pusingan kedua Cub Prix Malaysia 2023, PETRONAS meraikan ulang tahun ke-20 sebagai penaja utama kepada kejohanan tersebut.

Cub Prix merupakan acara tahunan siri perlumbaan motosikal peringkat kebangsaan untuk mengembangkan perlumbaan motosikal profesional di Malaysia dan mencungkil bakat baharu untuk negara.

Sambil pengunjung dan peminat sukan permotoran menyaksikan kemenangan Kasma Daniel Kasmayuddin (kategori CP150), Khairi Asyraf Mahmood (kategori CP125) dan Emil Idzhar Ezuan (kategori Wira KBS) di Jempol, Negeri Sembilan, mereka turut berpeluang menghadiri karnival #20TahunMelakarImpian yang dimeriahkan dengan aktiviti-aktiviti menarik.

Dalam penganjuran kali ini, PETRONAS membawa kembali bekas pelumba Cub Prix, iaitu Hafizh Syahrin Abdullah yang kini berlumba di arena Superbike Dunia bersama rakan pasukan Adam Norrodin untuk memberi inspirasi kepada pelumba-pelumba muda dan pengunjung yang hadir.

"Cub Prix Malaysia banyak membantu 'rider-rider' sebelum saya pun dari pelbagai segi. Saya harap 'rider-rider' muda yang tengah meningkat naik ini boleh memberikan yang terbaik dan mungkin satu hari nanti boleh mengganti saya dan menjadi lebih baik daripada saya," kata Hafizh.

Menurut Datin Anita Azrina Abdul Aziz, Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik PETRONAS, pihaknya teruja untuk memberi sokongan demi sukan permotoran negara.

"Tahun ini genap 20 tahun PETRONAS bekerjasama dengan Safe Aim Mutual [penganjur Cub Prix Malaysia] dan kami sangat berbangga menjadi sebahagian daripada perjalanan luar biasa ini.

"Ia juga merupakan bukti dedikasi PETRONAS dalam memberikan sokongan padu terhadap arena permotoran dua roda di Malaysia," katanya.