Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah, hanya bertahan tidak sampai sepusingan dalam penampilan perdana pasukan itu di pentas Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Chang sebentar tadi.

Ini selepas jentera bekas pelumba kategori perdana MotoGP itu menghadapi masalah sehingga tidak dapat meneruskan perlumbaan pertama pusingan pertama itu.

Dalam pada itu, pelumba TKKR Racing Team, Azlan Shah Kamaruzaman, muncul juara perlumbaan pembuka musim berkenaan apabila menamatkan aksi 13 pusingan itu selaku pelumba terpantas.

Azlan Shah, yang memulakan perlumbaan di petak kelima, jelas memanfaatkan pengalaman yang dimilikinya untuk mengungguli perlumbaan dan mengatasi pelumba Indonesia, Andi Farid Idzhar, di tempat kedua manakala seorang lagi pelumba negara, Zaqhwan Zaidi (Honda Asia Dream Racing) melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga.