Ketua jurulatih skuad hoki remaja, I.Vikneswaran, berasa kagum dengan prestasi yang dipamerkan anak buahnya di Kejuaraan Hoki Piala Remaja Asia yang berlangsung di Muscat walaupun terpaksa akur dengan kelonggaran daripada aspek persiapan pasukan.

Ini susulan selepas kejayaan skuad kendaliannya itu menempah tiket ke Piala Dunia Hoki Remaja 2025 di India tahun depan, namun, wujud perdebatan mengenai mutu persembahan skuad remaja meskipun menamatkan cabaran di Kejohanan Piala Asia Remaja dalam kelompok empat terbaik.

Sebelum ini, The Young Tigers tewas tipis 1-2 ketika berdepan Jepun dalam aksi penentuan tempat ketiga dan sekadar melakar keputusan seri 2-2 ketika bertemu Bangladesh dengan jurang perbezaan kualiti diperingkat saingan remaja menjadi kebimbangan peminat hoki tempatan.





"Jika diikutkan sesi latihan kami sangat terhad, pasukan remaja yang bersaing di Kejohanan Piala Asia Remaja kali ini merupakan pasukan yang paling singkat persiapan berbanding dengan sebelum ini.

"Kami pergi ke kejohanan ini dengan perlawanan ketujuh buat pasukan bersama dalam satu pertandingan berbanding sekurang-kurangnya perlu menghadapi 13 perlawanan sebelum sertai kejohanan.

"Dalam masa yang singkat, prestasi pemain meningkat. Saya bangga dengan pemain kerana dalam masa yang singkat mereka beraksi baik." katanya.