Hatrik penyerang Zati Alyani Muhammad Zubir, menyalakan semula momentum kemenangan skuad hoki wanita negara ketika membelasah Bangladesh 6-1 dalam perlawanan Kumpulan A Piala Remaja Asia 2024 di Stadium Hoki Al Amarat, Muscat, Oman.
Penyerang berusia 19 juga pemain terbaik perlawanan tersebut melakar hatrik pada minit kelapan, m-30 dan m-41 menerusi pukulan sudut penalti serta jaringan padang meletakkan Malaysia selesa di depan 3-0.
Nur Iman Adawiyah Mohd Suhaimi kemudian melebarkan lagi kedudukan melalui jaringan padang minit ke-44 untuk kedudukan 4-0 untuk Young Tigress.
Angkatan Lailin Abu Hassan terus melipat gandakan asakan kali ini giliran Nurshamine Azureen Mohammed Badusha menyumbat gol kelima hasil jaringan padang pada minit ke-45.
Bangladesh tidak mengalah bangkit dengan corak permainan pantas berjaya menyempurnakan pukulan penalti stroke dihasilkan Pal Orpita menewaskan Nur Hazlinda Zainal Abidin minit ke-49
Kedudukan 5-1 tidak kekal lama apabila Noor Asyiqin Syakirah Noor Hisyam menjaringkan gol keenam negara disempurnakan menerusi gol padang pada minit ke-53.
Anak buah Lailin akan berdepan pendahulu Kumpulan A, China dengan misi tiga mata sekiranya berhasrat mahu meneruskan kemaraan ke separuh akhir.
Sementara itu, Lailin berkata, misi tiga pasukan berjaya direalisasikan walaupun terdapat beberapa kekurangan ditampilkan anak-anak buahnya.
“Tetapi mereka juga telah menunjukkan semangat yang tinggi mengalahkan pasukan Bangladesh.
“Untuk menentang China, kita akan lebih fokus dan matlamat kita ialah bagaimana hendak bermain seperti kita bertemu India, kita harus lebih berhati-hati terutamanya pada separuh masa kedua,” katanya.
Temasya ini juga menyediakan lima slot ke pusingan akhir Piala Remaja Dunia 2025 di Santiago, Chile, Disember tahun depan.
Sebagai rekod Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama India, China, Thailand dan Bangladesh manakala Kumpulan B menampilkan Jepun, Korea, Hong Kong China, Taiwan dan Sri Lanka.
Edisi di Kakamigahara, Jepun sebelum ini, Young Tigress, mengakhiri saingan di kedudukan kelima dengan India muncul juara.
Mengulas peluang Young Tigress layak ke Piala Dunia Remaja, tahun depan, Lailin berharap pemain-pemainnya lebih yakin dengan diri sendiri dan berusaha mencapai sasaran ditetapkan sebelum ini.
China memimpin kumpulan dengan enam mata diikuti India (enam mata) yang telah mengharungi dua perlawanan.
Malaysia pula ketiga (enam mata), Thailand (tiga mata) masing-masing telah mengharungi tiga perlawanan diikuti Bangladesh tercorot tanpa sebarang mata. - Sinar Harian