Lewis Hamilton serta seluruh pelumba Formula 1 (F1) boleh dikenakan denda sehingga €1 juta (RM5.05 juta) berikutan perubahan drastik terhadap peraturan sukan itu.

Menjelang perlumbaan Grand Prix Amerika Syarikat hujung minggu ini, badan induk Formula Satu, FIA, mengumumkan peningkatan denda maksimum yang boleh dikenakan ke atas pelumba daripada €250,000 (RM1.2 juta) kepada €871,500 (RM4.4 juta).

FIA berkata jumlah itu tidak pernah berubah sejak 12 tahun lalu dan "tidak selari dengan perkembangan keperluan semasa sukan permotoran".

Tetapi keputusan itu menerbitkan pelbagai reaksi daripada pelumba-pelumba F1.

Daniel Ricciardo, yang kembali beraksi selepas terlepas lima perlumbaan disebabkan kecederaan patah tangan, berasakan keputusan itu "menakutkan", dan Kevin Magnussen daripada pasukan Haas pula menyifatkan langkah itu sebagai "tidak masuk akal".

Hamilton, yang melanjutkan kontrak dua tahun bernilai £100 juta (RM505.31 juta) bersama Mercedes sehingga musim depan, berkata: "Jika mereka mahu mendenda kami sebanyak €1 juta, pastikan wang yang diterima itu disalurkan untuk perkara keperluan.

"Industri ini sudah pun mempunyai banyak wang dan banyak lagi yang perlu dilakukan bagi menambah baik akses serta mewujudkan lebih banyak peluang kepada mereka yang tidak berkemampuan untuk menyertai sukan ini.

"Itulah satu-satunya cara untuk mereka mendapatkan wang daripada saya."