Peperangan yang dilancarkan Kelantan Darul Naim di Stadium Mini Manjung terhadap Perak tidak menjadi apabila pasukan tuan rumah selesa meraih kemenangan 3-1 dalam aksi timbal balik saingan Unifi Piala Malaysia sebentar tadi.

Kemenangan itu terus melayakkan pasukan kendalian Yusri Che Lah ke pusingan suku akhir dengan agregat 6-1.

Perak membuka jaringan seawal minit kesembilan menerusi tandukan Clayton menembusi gawang KDN.

Peluang terbaik pelawat muncul di minit ke-29 menerusi Jasmir Mehat namun percubaannya sempat ditangkap kemas Ramadhan Hamid.

Pada minit ke-34, satu lagi tandukan maut Perak menghantui kem Kelantan, kali ini menerusi Wan Zack Haikal meletakkan tuan rumah pada kedudukan yang lebih selesa dengan dua gol dalam aksi timbal balik ini.

Bersambung babak kedua, Perak terus menggandakan asakan apabila menambah jaringan Ariff Ar-Rasyid pula di minit ke-58.

Minit ke-84, Adam Danial menghadiahkan gol saguhati buat kelantan namun jaringan itu sudah terlambat untuk menyekat kemaraan Perak.