Jurulatih menembak negara, Hashim Desa, terpaksa meninggalkan anak buahnya, Johnathan Wong, apabila diarah mengendalikan skuad pistol pelapis kebangsaan selepas Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) mendapatkan khidmat jurulatih dari Korea Selatan.

Hashim terpaksa melupakan hasrat membawa Johnathan dan penembak lain untuk mencabar dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Dia kini ditugaskan untuk membimbing skuad pelapis kebangsaan di Majlis Sukan Negara (MSN), biarpun memiliki reputasi hebat pernah membawa Johnathan ke Sukan Olimpik Rio dan Hasli Izwan Amir Hassan ke Beijing 2008.

Bagaimanapun, dia kekal tenang dan menerima keputusan ini.

"Atlet pistol dan rifle adalah di bawah bidang kuasa ketua jurulatih (Park Sang Soon) dari Korea.

"Segala keputusan terletak di tangan beliau.

"Bagi saya, Johnathan seorang atlet yang fleksibel. Dia boleh bekerjasama dengan sesiapapun.

"Dia seorang atlet yang bijak," ujarnya.

Tugas skuad menembak semakin sukar dalam Sukan SEA Kuala Lumpur apabila empat penembak digugurkan daripada Program Podium.

Sebanyak 14 pingat emas ditawarkan dalam temasya pada 19 hingga 31 Ogos depan.

Walaupun tidak terbabit, namun Hashim yakin penembak negara mampu sekurang-kurangnya meraih dua emas.