Atlet lontar peluru negara, Jonah Chang, menjadikan kejayaan memecah rekod kebangsaan sebagai pembakar semangat untuk misi menamatkan kemarau pingat emas Sukan SEA di Thailand pada 2025.

Jonah cemerlang memadam rekod kebangsaan, 17.54 meter berusia 12 tahun yang dipegang Adi Alifuddin Hussin dengan catatan 17.67m pada Kejohanan Balingan Asia di Korea Selatan baru-baru ini.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas dalam acara lontar peluru di pentas Sukan SEA adalah pada 1993 menerusi Arjan Singh, tatkala atlet kelahiran Sarawak itu meraih tempat keempat di temasya Sukan SEA Kemboja 2023.

Dalam merealisasikan misi itu, Jonah tekad untuk melakukan balingan sejauh lebih 18 meter, namun dia bersikap realistik mengenai peluang menempatkan diri dalam kelayakan Sukan Olimpik.

"Catatan yang dilakukan di Korea Selatan meletakkan saya dalam kedudukan podium dalam saingan Sukan SEA. Saya berharap untuk meneruskan rentak ini dan menjelang saingan di Thailand.

"Bagi kelayakan Sukan Olimpik masih jauh, saya akan cuba yang terbaik meraih pingat di Sukan SEA, kemudian mengorak langkah ke Sukan Asia dan seterusnya ke peringkat yang lebih tinggi."