Skuad e-sukan negara memohon maaf atas kegagalan mereka mempertahankan pingat gangsa acara Mobile Legend: Bang Bang selepas tewas kepada Singapura dalam penentuan tempat ketiga Sukan SEA Hanoi 2021 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Vietnam hari ini.

Skuad negara muncul naib juara Kumpulan A di belakang Filipina sebelum tewas 0-2 kepada Indonesia dalam separuh akhir.

Mereka kemudian tewas 1-2 kepada Singapura dalam perlawanan penentuan pingat gangsa, sekali gus gagal mengulangi pencapaian dalam edisi di Manila pada 2019,

Filipina, dalam pada itu, muncul pemenang pingat emas selepas menewaskan Indonesia 3-1 dalam aksi final.'

Pengurus skuad Mobile Legends negara, Syazlan Rosdi, dalam satu temu bual Nadi Arena, berkata: "Perjalanan kami dalam kempen kali ini agak mengecewakan dan kami memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana tidak dapat mengekalkan pingat gangsa dalam Sukan SEA kali ini.

"Tetapi semua pemain, jurulatih dan pengurus sudah melakukan yang terbaik dan kami rasa amat bersalah kepada rakyat Malaysia.

"Untuk masa akan datang, kami akan buat yang lebih baik berbanding apa yang terjadi hari ini.

"Sepanjang tiga atau empat musim yang lalu, memang kami selalu bertemu dengan pasukan dari Singapura dan Indonesia, cuma memang terbukti mereka pasukan yang lebih baik daripada kami dalam edisi kali ini," katanya.