Atlet baling tukul besi negara, Jackie Wong, yang bakal membuat kemunculan pertama Sukan Komanwel meletakkan sasaran untuk sekurang-kurangnya layak ke peringkat akhir temasya di Birmingham itu.

Jaguh Asia Tenggara itu ingin menggunakan kesempatan pada saat-saat ini untuk menyesuaikan diri dengan venue pertandingan selain mencari balingan terbaik.

"Saya cergas dan sudah bersedia untuk beraksi.

"Saya belum capai kemuncak prestasi dan harap-harap dalam tempoh 10 hari sebelum acara saya bermula, saya dapat membiasakan diri dengan cuaca di sana," katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Bonnie Bunyau pula yang menggalas misi membutirkan pingat emas buat kontinjen para Malaysia nyata teruja selepas menyinar dalam Sukan Paralimpik, Kejohanan Dunia dan Piala Dunia selain memegang rekod baru powerlifting dunia.

"Persiapan kami dalam fasa akhir ini sangat baik.

"Saya tidak mahu beri tekanan lebih kepada diri sendiri.

"Tapi di sana nanti saya akan buat sehabis baik," katanya.