Wira powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin, berbangga apabila menepati ramalan memenangi pingat emas pertamanya di pentas Sukan Komanwel Birmingham dengan memecahkan rekod temasya itu awal pagi tadi.

Bonnie Bunyau melakukan angkatan seberat 210 kilogram dalam percubaan pertamanya, sekali gus memecahkan rekod baru temasya.

Dia kemudian memperbaiki catatan itu dengan angkatan seberat 216 dan 220 kilogram, masing-masing dalam percubaan kedua dan ketiga untuk sah bergelar pemenang pingat emas.

Juara dunia dua kali berusia 23 tahun itu, ketika ditemu bual Astro Arena, mengakui teruja memenangi pingat emas pertamanya dalam temasya berkenan, terutama dengan memecahkan rekod baru Sukan Komanwel meskipun belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

"Dulu sewaktu (di Gold Coast) 2018, saya menduduki ranking keempat dan ia merupakan Sukan Komanwel pertama saya.

"Kali ini saya dapat melakukan penampilan terbaik di Birmingham untuk memecahkan rekod Sukan Komanwel sebanyak tiga kali.

"Sebenarnya kami tidak menjangkakan untuk memecahkan rekod Sukan Komanwel dalam angkatan pertama tetapi ia lebih kepada percaturan untuk menyalamatkan mata kami, jadi ia memberikan mata terbaik.

"Kemenangan kali ini membuatkan saya amat gembira kerana saya masih ada kecederaan yang perlu saya tahan, jadi kemampuan saya adalah pada berat 220 kilogram.

"Saya masih rasa kesakitan di bahu yang membuatkan saya tidak selesa.

"Pingat emas Sukan Komanwel ini semakin melengkapkan koleksi saya kerana kini saya hanya tiada pingat emas Sukan Para ASEAN," katanya.