Atlet powerlifting Sarawak, Azlan Mos, membuktikan keunggulan apabila mencipta rekod baru kebangsaan bagi kategori bawah 59 kilogram dalam Sukan Para Malaysia (Para Sukma) di ibu negara hari ini.

Atlet berusia 31 tahun itu melakukan angkatan terbaik seberat 150 kilogram untuk memenangi pingat emas, sekali gus mencerahkan peluangnya untuk diserapkan ke dalam skuad kebangsaan.

Azlan, dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Syen Yeoh, berkata dia tidak pernah berasa kesal beralih kepada sukan powerlifting daripada boling tenpin.

"Sukan boling tidak dipertandingkan bagi kategori kerdil di luar negara, jadi selepas memikirkannya, saya memilih powerlifting kerana boleh pergi jauh jika ada rezeki.

"Tiada rahsia dalam kejayaan saya cuma perlu jaga pemakanan dan minuman, jaga berat badan, tidur perlu cukup, tawakal, yakin kepada diri, fokus dalam latihan dan dengar cakap jurulatih," katanya.