Juara silat dunia, Mohd Al-Jufferi Jamari, optimis dia kini berada di landasan terbaik memburu pingat emas Sukan SEA keempat berturut-turut dalam temasya KL2017.

Bagi Al-Jufferi, latihan fasa akhir selama sebulan yang dilaluinya bersama skuad silat negara ketika bulan Ramadan lalu banyak membantu persediaannya kali ini.

Pesilat kelahiran Kuantan itu turut mengakui tidak sabar untuk beraksi selepas menyaksikan beberapa atlet negara sudah menyumbang emas buat kontinjen negara.

Al-Jufferi akan turun mempertahankan emas dalam saingan putera kelas E (65 hingga 70kg), bermula hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

"Saya tidak sabar untuk menyumbangkan emas buat negara.

"Saya tidak sabar untuk memberikan yang terbaik kepada pasukan.

"Latihan di Vietnam memberikan kami persiapan yang terbaik bagi menghadapi saingan kali ini," katanya.

Jurulatih silat negara, Nasri Nasir, turut percaya Al-Jufferi sudah bersedia menghadapi Sukan SEA.

Pendekatan pencabar utama, Indonesia, yang mengubah kategori beberapa pesilat mereka juga tidak akan memberi kesan.

"Kami sudah mengenal pasti pesilat yang bakal diturunkan oleh negara-negara yang bersaing dalam Sukan SEA ini.

"Saya percaya tiada masalah yang bakal dihadapi oleh Al-Jufferi," kata Nasri.


Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.