Pasukan Thailand mengesahkan penyertaan saat akhir Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025.

Ketua jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun, memang berharap untuk skuad Thailand turun beraksi dalam kejohanan utama seperti ini.

Penyertaaan Thailand sedikit sebanyak dapat memberikan momentum dan kesan positif kepada persiapan Malaysia untuk sentiasa berada dalam keadaan terbaik.

"Pasukan kebangsaan memang mahu Thailand beraksi dalam kejohanan utama, di tahap Asia mahupun dunia.

"Ia akan memberi momentum yang lebih konsisten untuk menguji sejauh mana kemampuan pasukan kebangsaan beraksi di peringkat antarabangsa.



"Ini juga satu isyarat kepada pasukan kebangsaan supaya bersiap awal hingga hari kejohanan," katanya di Nadi Arena.

Dalam pada itu, skuad lelaki dan wanita negara bakal menghadapi satu kejohanan di India yang bermula 20 hingga 25 Mac ini.

Dan Ahmad Jais mengharapkan ia menjadi medan pemanas badan terbaik buat mereka sebelum menggegar Piala Asia 2025.

"Kejohanan ini boleh dijadikan perlawanan pemanas badan sebelum pertandingan Piala Asia.

"Diharap pemain dapat memberikan fokus sepenuhnya walaupun beraksi pada Ramadan, namun itu bukan halangan untuk kami beraksi dengan baik sebagai persiapan menghadapi Piala Asia." katanya.