Pasukan Kuala Lumpur dinobatkan juara regu lelaki Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali Edisi Ketiga sebentar tadi.

Kuala Lumpur yang belum pernah menjejak kaki ke pentas final berdepan rintangan juara 2022, Perak, dalam pertemuan di Dewan MBMB Serindit, Melaka.

Trio yang dibentuk oleh Amirul Zazwan Amir, Syahir Rosdi dan Aekkasit Naphom itu diberi laluan selesa ketika berdepan Noraizat Nordin, Meor Zulfikar Mat Amin dan Aidil Aiman Zawawi untuk mendominasi set pertama 15-6.



Kali ini, Syahir yang hanya diturunkan dalam set pertama ketika menjinakkan Negeri Sembilan malam tadi mempamerkan sentuhan sebenarnya di bahagian tekong.

Perak tidak mampu berlengah dalam pungut mata set kedua, namun ketajaman servis Syahir tidak membenarkan mereka untuk melebarkan kedudukan apabila terikat 7-7.

Selepas itu, kelebihan tiga mata yang dimiliki gagal dimanfaatkan Perak ketika memasuki babak mendebarkan 13-13 dan 16-16.

Sebaliknya Syahir membuktikan kualiti servisnya untuk mata kemenangan 17-16.