Kapten Afrika Selatan, Siya Kolisi, berkata kesusahan harian yang dihadapi oleh berjuta-juta rakyat negaranya menyemarakkan usaha Springboks untuk mempertahankan Piala Dunia Ragbi menjelang pertemuan separuh akhir menentang England hujung minggu ini.

Skuad kendalian Jacques Nienaber itu merupakan pasukan pilihan untuk mara ke perlawanan akhir, sekali gus menantikan pemenang satu lagi pertembungan di antara New Zealand dan Argentina bagi mempertahankan gelaran mereka.

Kolisi, kapten berkulit hitam pertama buat negaranya, mengatasi kemiskinan zaman kanak-kanaknya sehingga dapat menjulang Piala Webb Ellis di Jepun pada empat tahun lalu.

Pemain berusia 32 tahun itu pernah melalui kehilangan tempat tinggal dan pengangguran dan ketika menjawab soalan mengenai motivasi pasukannya, dia berkata kegagalan untuk memberikan 100 peratus akan dikira sebagai 'menipu' buat pasukannya.

"Saya tidak rasa perkara itu akan berubah, untuk siapa kami bermain dan siapa kami wakili," katanya.

"Apabila kami mula bermain dan melakukan sesuatu untuk orang lain, ia bukan mudah untuk berputus asa, malah lebih sukar.

"Ia apabila kami memikirkan berapa ramai orang yang sanggup memberikan apa sahaja untuk berada di tempat kami dan majoriti rakyat di negara kami menganggur serta tidak mempunyai rumah untuk berlindung.

"Bagi saya, berputus asa dan tidak mampu untuk memberikan segala-galanya seakan-akan menipu bukan sahaja diri sendiri dan pasukan tetapi mereka yang diluar sana juga.

"Semakin bersungguh-sungguh kami bermain, semakin baik kami melakukannya, semakin terbuka luas peluang untuk orang lain dan itu yang mendorong kami.

"Saya percaya kami adalah pasukan yang mempunyai tujuan, bukan sahaja untuk mengejar trofi; sudah tentu trofi membantu anda untuk mendapatkan lebih sokongan.

"Tetapi adakala anda boleh melihat perjuangan yang anda hadapi dan berasa kasihan kepada diri sendiri tetapi kami menjadikan perjuangan pahit manis itu sebagai panduan untuk menempuhi cabaran.
"Ia membantu kami untuk terus maju ke hadapan apabila situasi menjadi sukar," katanya.