SEPANYOL 2 ENGLAND 1

Hasrat England untuk menamatkan penantian julangan trofi Euro tidak kesampaian apabila tewas 1-2 kepada Sepanyol dalam aksi final di Berlin sebentar tadi.

Mikel Oryazabal muncul wira kemenangan La Roja, sekali gus kembali dinobatkan juara Eropah selepas kali terakhir melakukannya pada 2012.

Selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam babak pertama, Sepanyol hanya memerlukan dua minit selepas perlawanan bersambung untuk memecahkan kebuntuan menerusi ledakan Nico Williams yang tidak dikawal.

Keadaan itu memberikan tekanan buat pengurus England untuk mengubah percaturannya, termasuk dengan mengeluarkan ketua pasukan, Harry Kane, untuk digantikan dengan Ollie Watkins selain Cole Palmer masuk menggantikan Kobbie Mainoo.

Hasilnya, Palmer bijak menghidu hantaran ke belakang Jude Bellingham sebelum meletuskan rembatan leret yang tepat menuju ke penjuru kiri bawah gawang Unai Simon pada minit ke-73.

Ketika perlawanan penentuan gelaran itu kelihatan akan diheret ke masa tambahan, Oryazabal menggerakkan bola ke arah Marc Cucurela sebelum menerima kembali lorongan daripada rakan sepasukannya itu untuk menolak masuk melepasi kawalan Jordan Pickford.

Dengan itu, Sepanyol bergelar juara dengan rekod kemenangan bersih sepanjang tujuh perlawanan dalam edisi ini.