Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mempertahankan Peta Hala Tuju F:30 badan induk itu walaupun selepas kegagalan skuad bawah 16 tahun (B-16) dan B-19 kebangsaan pada kempen Kelayakan Piala Asia tahun ini.

Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram berkata, kegagalan kedua-dua skuad remaja itu tidak bermakna Peta Hala Tuju F:30 gagal sepenuhnya.

Sebaliknya, dia menegaskan bahawa Peta Hala Tuju F:30 yang mula dilancarkan pada 31 Oktober 2018 harus dilihat secara holistik.

“Berdasarkan graf Peta Hala Tuju F:30 ini, sebenarnya banyak pencapaian telah dicapai terutamanya pada Fasa 1.

“Contohnya, Liga Suparimau yang diperkenalkan mulai tahun 2021 telah mendapat pengiktirafan daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) apabila memenangi anugerah bagi kategori grassroots.

“Bola sepak wanita pula mula menunjukkan petanda baik apabila pasukan Sabah berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila layak beraksi buat kali pertama pada kejohanan Liga Juara-Juara Wanita AFC tahun ini.

“Malah, sukan futsal juga tidak ketinggalan menampakkan perkembangan positif apabila Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) Divisyen 2 julung kali dianjurkan mulai tahun ini,” katanya.

Bagaimanapun, Sivasundaram mengakui Peta Hala Tuju F:30 Fasa 2 agak ‘terencat’ jika melihatkan kegagalan skuad B-16 dan B-19 pada Kelayakan Piala Asia tahun ini.

“Tetapi kita tidak boleh membuat penilaian hanya bersandarkan kepada prestasi kedua-dua pasukan remaja pada kempen Kelayakan Piala Asia.



“Apa yang boleh saya katakan, kita masih berada di landasan yang betul bersandarkan kepada beberapa pencapaian pada Fasa 1.

“Jadi untuk mengatakan Peta Hala Tuju F:30 gagal, itu tidak benar. Kita masih ada masa enam tahun lagi untuk melihat kejayaan pada penghujung tahun 2030,” katanya.

Di bawah Peta Hala Tuju F:30, FAM mahu meletakkan bola sepak Malaysia dalam kelompok lima pasukan gergasi Asia menjelang tahun 2030.

Peta hala tuju dengan tempoh 12 tahun itu dibahagi kepada tiga pelan strategik, iaitu fasa pertama untuk membina asas yang kukuh dari sudut tadbir urus, pertandingan dan pembangunan modal insan serta infrastruktur.

Fasa kedua pula mencapai peringkat Asia dan fasa ketiga bertujuan melahirkan sebuah pasukan kebangsaan yang mencapai taraf dunia.

Kredit--Sinar Harian